Selamat Datang ke laman blog Azfar El Ideris


Apa yang dipaparkan dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan berdasarkan analisis penulis sendiri. Ia tidak dipengaruhi mana-mana individu atau persatuan. Ia juga tidak mewakili sebarang organisasi. Sebarang pendapat atau teguran, sama ada positif atau negatif adalah dialu-alukan. Bagaimanapun penggunaan bahasa kasar, menghina atau berbentuk ugutan tidak akan dilayan. Terima kasih.

Thursday, May 13, 2010

KECOH BETUL – TRILOGI di belakang tabir

Hampir setahun tidak menulis di dalam ruangan yang aku ‘cipta’ sendiri. Sibuk dengan urusan-urusan produksi membuatkan isu yang mahu dibangkitkan di dalam blog menjadi isu sembang bersama krew ketika sebelum pulang sambil pekena teh tarik.(walau yang sebenarnya aku minum Nescafe tarik)


Aku terpanggil untuk menulis kembali dan akan terus menulis (jika diizin tuhan) kerana ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang sudi membaca tulisanku ini. Tidak kurang dari sebulan dari sekarang, bermula 3 Jun 2010 filem KECOH BETUL akan berada di 50 pawagam seluruh tanahair.


Teringat aku peristiwa sekitar tahun 2007, pada ketika itulah produser S.Baldev Singh menyatakan hasratnya kepadaku untuk bikin filem kedua setelah kegagalan filem Akhirat. Kegagalan tidak mematahkan semangat beliau malah beliau terus bangkit selagi kejayaan tidak dikecapi. Sekadar memberi pendapat (sebagai seorang yang sudah 10 tahun berpengalaman dalam bidang produksi pada ketika itu) aku menyarankan agar bikin filem komedi kerana kosnya yang sederhana dan sambutan penonton yang dahagakan filem genre sedemikian.


Apa yang menariknya, bukan sahaja cadangan itu diterima malah aku telah ditawarkan oleh produser untuk menjadi pengarah bersama kepada projek filem tersebut.


KECOH BETUL vs RASUK


Pada peringkat awal Mr.Baldev lebih berminat untuk bikin filem seram. Sebagai produser dia memang berhak untuk apa diputuskannya.Mr.Baldev memang agak degil sikit, tapi dalam pada itu ada baiknya.Filem seram yang diberi tajuk RASUK itu sudah hampir siap skripnya ditulis (tinggal nak touch up je). Dek kerana dari gesaan sekeliling, akhirnya bos aku setuju semula untuk meneruskan projek KECOH BETUL. Aku adalah antara insan yang paling gembira tatkala keputusan itu dibuat. Kami terus gembleng tenaga bagi memastikan KECOH BETUL berjaya dihasilkan. Pada peringkat awal tajuk yang diberi ialah KECOH sahaja. Mr. Baldev nak juga tajuk KECOH BETUL. Bagi aku tidak salah tajuk itu diputuskan memandangkan tagline seperti kecoh betullah kau ni…sememangnya menjadi antara bait yang kita ucapkan kepada seseorang yang agak kecoh perangainya.


NABIL – RAJA LAWAK musim kedua


Pertengahan tahun 2008, naskhah KECOH BETUL sudah siap untuk divisualkan. Orang-orang kuat produksi di White Merpati Entertainment mula sibuk membincangkan pencarian pelakon untuk KECOH BETUL. Bagai bulan jatuh ke riba, pada ketika itu nama Nabil Ahmad menjadi sebutan ramai, sehinggalah si Nabil ni berjaya dan dinobatkan sebagai RAJA LAWAK musim kedua terbitan ASTRO. Dek kerana populariti dan bakatnya maka pihak produksi bersetuju untuk menawarkan watak utama kepada Nabil.


KECOH BETUL memerlukan tiga watak utama untuk mendokong watak mat-mat dispatch yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran pizza. Salah satu watak itulah yang ingin kami tawarkan kepada Nabil.


Cukup payah untuk mendapatkan Nabil ketika itu (maklumlah orang tengah panas). Namun kerana inginkan juga Nabil sebagai tunggak utama, ku gagahkan jua untuk mencari jalan bertemu dengannya.


Akhirnya bersama-sama dengan pengurus produksi pada waktu itu saudara Heree Hasrizal, aku telah dipertemukan dengan Nabil Ahmad bersama pengurusnya. Setelah aku ceritakan sinopsis KECOH BETUL, Nabil ternyata berminat dan aku kagum dengan semangatnya yang seakan-akan membakar semangat ku pula.


Dek kerana kesibukan Nabil, produksi yang dijadualkan bermula pada Ogos 2008 telah ditunda ke Disember 2008.


Produksi terus dengan pencarian pelakon bagi mengisi kekosongan watak-watak yang diperlukan. Mahu tahu apa kisah selanjutnya?


Sudi-sudikanlah membaca tulisan saya dalam tajuk KECOH BETUL – TRILOGI di belakang tabir.


No comments:

Post a Comment